
SHAH ALAM - Kerajaan dan rakyat tetap menghargai serta mengingati jasa-jasa wira negara yang mempertahankan bumi Lahad Datu dari diceroboh.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara mempertahankan kedaulatan negara ini perlu di hargai.
“Tiga tahun lalu, lapan anggota keselamatan gugur sewaktu berhadapan penceroboh di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul, Semporna.
“Mereka sanggup menggadaikan nyawa demi keselamatan negara. Mereka adalah wira negara,” katanya.
Katanya, negara hanya akan wujud sekiranya keselamatan terjamin.
“Mungkin ramai tidak tahu keadaan semasa pasukan keselamatan kita di kawasan Zon Keselamatan pantai Timur Sabah (Esszone).
“Mereka berada di tempat terpencil dan terdedah kepada bahaya menjaga sempadan laut dan darat dengan kemudahan yang sangat terhad,” katanya.
Menurutnya, beliau mengadakan lawatan kerja ke Kota Kinabalu dan Esszone, 26 hingga 29 Februari lalu.
“Sepanjang lawatan tersebut, saya ke Balai polis Pulau Gaya, Pusat Tahanan Sementara Pati Menggatal, Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pusat Tahanan Sementara Pati Sibuga, Pusat ICQ Sandakan, Jabatan Imigresen, Batalion 15, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pos Kawalan Tanjung Labian dan Pos Kawalan Kampung Tanduo.
“Lawatan kerja rasmi ini bertujuan mengenal pasti perkara yang perlu ditambah baik untuk memantapkan lagi operasi lapangan di kawasan keselamatan tersebut selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac 2013,” katanya.
Beliau berkata, kawasan keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) diwujudkan bagi menguatkan lagi kawalan keselamatan maritim dan darat di bahagian pantai Timur Sabah.
“Ia susulan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 2013,” katanya.
Keselamatan di tahap tertinggi
Mengulas mengenai keadaan keselamatan di Pantai Timur Sabah, Nur Jazlan berkata, ia masih berada pada kadar bahaya memandangkan perbicaraan mahkamah melibatkan penceroboh di Lahad Datu masih berjalan.
“Namun begitu, kita tingkat kawalan keselamatan pada tahap tertinggi dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
“Dengan meningkatkan kawalan keselamatan, kita dapat elak kawasan Pantai Timur Sabah diceroboh penjenayah rentas sempadan yang terlibat penculikan, penyeludupan barang-barang terlarang dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya.
Nur Jazlan berkata, pelaksanaan penguatkuasaan perintah berkurung yang telah dilaksanakan sejak setahun lalu di perairan enam daerah di Esszone juga berjaya mempertingkatkan tahap keselamatan perairan negara.
“Pelaksanaan berjaya membantu pasukan keselamatan memantau dan mengawasi pergerakan keluar masuk bot asing terutama pada waktu malam.
Katanya, Esscom giat melaksanakan OP Bersepadu di enam daerah Esszone seperti kawasan bandar dan pinggir bandar, perkampungan setinggan, ladang bagi mengesan dan memburu Pati yang disyaki menjadi tali barut.
“Statistik menunjukkan sepanjang 2015, 129,435 orang diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 9,610 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Esscom tambah kekuatan aset
Melalui perutusan khas yang telah diluluskan oleh Najib pada 2015, Nur Jazlah berkata, Esscom menambah kekuatan aset maritim menerusi perolehan aset-aset bernilai RM65.8 juta.
“Aset baharu ini diagih kepada pelbagai agensi penguatkuasaan maritim dan ditempatkan di lokasi strategik yang disyaki menjadi laluan penjenayah rentas sempadan dan pati.
“Selain itu, tujuh balai polis dibina di seluruh Esszone yang membabitkan peruntukan RM 1.07 juta di mana balai ini sebagai penghubung antara masyarakat serta pasukan keselamatan dalam usaha membanteras jenayah di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.
Menurutnya, sepanjang lawatan, terdapat beberapa isu dikenal pasti dan dibincangkan dengan teliti seperti kawasan operasi yang luas iaitu 1,700 kilometer, peralatan yang masih belum mencukupi, kekurangan anggota, penggantian aset dan peralatan lama serta penambahbaikan infrastruktur.
“Bagi mengatasi isu tersebut, beberapa cadangan dan tindakan penambahbaikan telah serta sedang diusahakan iaitu kelulusan perjawatan 250 anggota Polis Marin dan lain-lain, menambah sebanyak 92 bot termasuk jenis fast interceptor dan utiliti bot, pengharaman pam bot bermula 1 Januari 2016 serta penubuhan agensi kawalan sempadan bagi mencegah penyeludupan.
“Begitu juga pemasangan kamera resolusi tinggi (Big Eye) yang dibiayai sepenuhnya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) di lokasi strategik termasuk pulau bagi memantau pergerakan bot di perairan Esszone,” katanya.
Katanya, Esscom bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi kerajaan lain mengadakan beberapa operasi sepanjang 2016 seperti Operasi Bersepadu (OB) Esscom, Ops Gasak, Op Pasir, Op Taring dan Op Pluto.
INFO
Senarai anggota keselamatan yang terkorban semasa peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di
Lahad Datu, Sabah pada 2013
Senarai anggota keselamatan yang terkorban semasa peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di
Lahad Datu, Sabah pada 2013
PDRM
Terkorban semasa pertempuran dengan musuh di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013 jam 10 pagi.
-Sarjan Sabaruddin Daud
-ASP Zulkifli Mamat
Terkorban semasa usaha menjejaki tali barut musuh di Kampung Simunul, Semporna. Diserang hendap musuh pada 2 Mac jam 8 malam.
-ACP Ibrahim Lebar
-DSP Michael Padel
-SM Baharin Hamit
-Kpl Mohd Azrul Tukiran
-Sarjan SalamTogiran
-SM Abd Azis Sarikon
-DSP Michael Padel
-SM Baharin Hamit
-Kpl Mohd Azrul Tukiran
-Sarjan SalamTogiran
-SM Abd Azis Sarikon
ATM
Terkorban diserang hendap musuh semasa melaksanakan tugas pembersihan di Kampung Tanjung Batu pada 12 Mac 2013 jam 7.45 pagi.
- Kpl Ahmad Hurairah Ismail
Kemalangan jalan raya di Tunku Lahad Datu pada 12 Mac 2013 sewaktu peristiwa Tanduo. bertugas mengangkut kelengkapan logistik dan kelengkapan ATM
-Kpl Ahmad Farhan Ruslan
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment