Wednesday, 9 March 2016

CUBAAN CULIK PEMIMPIN NEGARA: POLIS BERI JAMINAN KESELAMATAN NEGARA TERKAWAL

Kuala Lumpur, 8 Mac - Polis mengesahkan ada cubaan menculik beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri oleh kumpulan militan Daesh tahun lalu seperti yang didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya memberi jaminan keadaan keselamatan di negara ini adalah selamat dan terkawal.

"Menjadi tugas kami untuk mencegah sebarang jenayah yang berlaku di negara ini," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Kolej Unikop dan Open University Malaysia (OUM), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai negara tertentu yang mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap rakyatnya di negara ini, Khalid berkata polis memberi jaminan bahawa keselamatan pelawat atau pelancong ke negara ini adalah selamat.

"Amaran keselamatan itu hak mereka untuk halang rakyat daripada pergi ke tempat yang mereka fikir tidak selamat. Saya beri jaminan bahawa keselamatan kita terjamin dan terkawal. Kami alu-alukan mana-mana pelawat untuk ke sini," katanya.


- BERNAMA

No comments:

Post a Comment